Jumaat, 31 Mei 2013

Reaksi Menteri KBS


KUALA LUMPUR: Rasa tidak puas hati Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim terhadap agihan tiket, separuh akhir kedua Piala FA, antara Pahang dan Johor Darul Takzim turut mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Menterinya, Khairy Jamaluddin secara terbuka menegur Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk bersikap lebih telus.

"Saya cadangkan kepada FAM, kutipan hasil tiket sepatutnya diberikan kepada Pahang sebagai tuan rumah, tapi tak boleh lebih daripada kapasiti Stadium Darul Makmur, jangan ambil Stadium Nasional kalau tidak adil.

"Dah didenda tapi beri mereka ambil keuntungan daripada kapisiti 80,000 di Stadium Nasional, ini tidak masuk akal.

"Kita kena adil dalam perkara ini, ini pandangan orang ramai, kalau Pahang contohnya didenda RM100,000, tetapi sekarang ini diberikan stadium yang lebih besar, sebagai tuan rumah dia boleh kutip hasil daripada tiket tersebut," kata Khairy dengan nada kesal.

Sebelum ini, Tunku Ismail turut menyuarakan rasa terkilan terhadap pengagihan tiket oleh FAM menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan kepada media pada Khamis.

Dalam perkembangan berkaitan, Khairy turut menyuarakan rasa kecewa terhadap Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang, PBNP di atas kekalutan di Stadium Darulmakmur sehingga menyebabkan rusuhan tercetus.

"Saya sebagai Menteri Belia dan Sukan amat kecewalah dengan PBNP, dengan ‘match’ komisioner pada hari tersebut.

"Sebab bagi saya bukan hanya rasa malu tetapi ini soal keselamatan penonton," kata Khairy.

Bekas Timbalan Presiden FAM ini, turut menimbulkan kerisauan terhadap usaha FAM untuk melakukan bidaan Piala Dunia 2034, bersama ASEAN walaupun masih menyokong bidaan tersebut.

Ia kerana kegagalan FAM mengurus insiden di Stadium Darulmakmur dengan baik, walaupun ia hanya perlawanan domestik.

Khairy ditemui Astro Awani, ketika melakukan lawatan rasmi pertamanya ke Majlis Sukan Negara, (MSN).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan